PBS 2016; ISU PENGABAIAN WARGA TUA
Monday, 11 January 2016 // 17:36
Dalam meniti usia emas, warga tua sepatutnya boleh menyandarkan harapan kepada anak-anak. Pertalian yang sekian lama terjalin wajarlah ada tautan hingga ke penghujung zaman. Usaha ini adalah untuk mengelakkan warga emas berasa rendah diri, tersisih dan hidup dalam penderitaan dan kesedihan. Kes meninggalkan ibu bapa yang sudah lanjut usia di rumah kebajikan sering menjadi perbualan umum dan mendapat perhatian masyarakat moden pada hari ini. Kadar kemasukan warga emas ke rumah kebajikan seperti cendawan tumbuh selepas hujan dari tahun ke tahun. Anak-anak merupakan orang yang akan dituding jari oleh masyarakat disebabkan oleh pengabaian mereka terhadap ibu bapa yang sudah lanjut usia. Oleh itu, terdapat beberapa punca yang membawa kepada pengabaian warga emas ini. Bak kata peribahasa Melayu, bagai menatang minyak yang penuh sudah dicurahkan oleh ibu bapa kepada anak-anak sejak dilahirkan, namun anak-anak ibarat kacang melupakan kulit kian mengabaikan kebajikan ibu bapa apabila mereka sudah meningkat dewasa, berkerjaya dan berumah tangga.
Pengabaian warga emas berpunca daripada sikap golongan muda dewasa ini yang terlalu taksub akan dunia kebendaan dan mementingkan diri. Kesibukan mengejar duniawi menyebabkan mereka sanggup menetap di luar negara untuk tempoh yang tertentu bagi memastikan pencapaian cemerlang mereka dalam dunia kerjaya. Bagi mereka, tugas mengejar kekayaan, kemewahan dan kesenangan hidup adalah segala-galanya. Sama ada kebajikan para ibu bapa mereka terbela atau tidak, bukanlah persoalan yang harus difikirkan serta diambil tindakan yang sewajarnya. Apabila ibu bapa semakin tua, maka terdapatlah jurang komunikasi dengan anak-anak. Keadaan ini bertambah buruk dengan adanya hasutan, hambatan dan tekanan yang diberikan oleh pasangan hidup yang tidak sanggup tinggal bersama dengan ibu bapa kerana tidak tahan akan leteran dan kerenah ibu bapa yang telah uzur selain menginginkan kehidupan yang lebih selesa dan bebas. Mereka juga tidak sanggup menjaga ibu bapa tua yang dianggap nyanyuk dan tidak berguna lagi. Anak-anak seterusnya akan bertindak menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang-orang tua.
Sikap anak-anak yang tidak tahu mengenang budi turut mendorong kepada pengabaian kebajikan dan kasih sayang warga emas. Anak-anak yang diberi didikan agama dari kecil lagi tidak akan mengabaikan dan menyisihkan ibu bapa mereka. Anak-anak yang mempunyai asas agama yang kukuh menyedari dan menginsafi tanggungjawab mereka dalam menjaga kebajikan ibu bapa yang berumur di samping senantiasa berhubung dan berkasih sayang dalam kehidupan sehari-hari. Sejak kecil, anak-anak tidak diberi pendedahan tentang nilai mengenang budi, sehingga menyebabkan mereka membesar sebagai seorang dewasa yang tidak bertanggungjawab bagaikan kacang lupakan kulit. Sememangnya, ibu bapa seharusnya menerapkan nilai-nilai kasih sayang dan bertanggungjawab selain menyemaikan sikap mengenang budi dalam kehidupan berkeluarga. Tanggungjawab untuk menjaga golongan warga emas harus dipupuk dalam jiwa setiap anak sejak kecil lagi. Balasan ini sebenarnya adalah terlalu kecil jika dibandingkan dengan segala kasih sayang dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh kedua-dua ibu bapa dalam mendidik dan membesarkan kita sehingga dewasa dan berjaya.
Selain didikan agama yang diterapkan kepada anak-anak sejak kecil lagi pendidikan moral juga perlu diterapkan di sekolah rendah dan sekolah menengah. Pendidikan agama yang dihubungkan dengan memperbanyak konsep inter-generasi, yakni agensi atau pusat penjagaan haruslah menyediakan penjagaan kepada penjaga perlulah diwar-warkan agar mereka lebih menyedari sumber yang boleh didapati, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar. Selain itu, kerajaan perlu menyediakan satu sistem pendaftaran penjaga supaya segala bentuk bantuan kebajikan dan program boleh disalurkan dengan mudah dan berkesan. Maknanya, kita akan tahu siapa yang menjaga siapa dalam institusi masyarakat di samping memupuk budaya masyarakat penyayang dalam kalangan masyarakat majmuk Malaysia. Seterusnya kita juga harus mengadakan kempen kesedaran tentang masalah yang berkaitan dengan warga tua seperti mengadakan Hari Ibu dan Hari Bapa. Hari-hari tersebut wajar disambut bagi menyanjung dan mengingati jasa dan pengorbanan mereka. Melalui hari ibu dan bapa ini, sedikit banyak akan menyedarkan golongan anak-anak yang tidak mempedulikan ibu bapa mereka agar insaf dan pulang ke pangkuan keluarga yang tersayang.
Tidak dapat dinafikan bahawa masalah peribadi juga merupakan antara punca pengabaian warga emas dalam kalangan masyarakat moden pada hari ini. Masalah kewangan merupakan isu utama yang sering dibangkitkan agar ibu bapa tinggal di rumah kebajikan kerajaan yang dikatakan menanggung segala makan, minum, pakaian dan tempat tinggal. Kononnya, ibu bapa sering dikatakan sebagai beban dan faktor penyumbang kepada masalah kewangan anak-anak. Oleh hal yang demikian, mereka yang sudah lanjut usia, berpenyakit tua dan kurang upaya telah dihantar ke rumah kebajikan atau rumah orang-orang tua. Padahal ketika anak-anak masih kecil mahupun remaja, ibu bapalah yang sanggup menatang bagai minyak yang penuh, bergolok gadai atau bermandi peluh untuk memenuhi keinginan dan tuntutan anak-anak, khususnya dari segi pelajaran, makanan, tempat tinggal yang selesa, pakaian dan bukannya menghantar anak-anak ke rumah anak-anak yatim. Namun, sayang seribu kali sayang, anak-anak yang sudah dewasa dan berkerjaya cemerlang langsung tidak mengenang budi ibu bapa sebaliknya rumah kebajikan atau rumah orang-orang tua menjadi pilihan mereka untuk melangsaikan tanggungjawab anak kepada ibu bapa tua mereka.
Dalam keghairahan kita mengejar kemajuan material, terdapat segolongan masyarakat, iaitu golongan warga tua atau warga emas yang terabai dan semestinya memerlukan perhatian dan kasih sayang masyarakat, khususnya generasi muda. Layanlah kehendak dan kerenah mereka, asalkan hidup mereka bahagia dan gembira. Kita haruslah banyak bersabar, cekal dan tabah semasa melayani buana ragam golongan warga emas yang kadangkala bersifat terlalu asing buat kita, anak-anak remaja yang sedang meningkat dewasa dan berkerjaya. Sesungguhnya, golongan inilah yang telah melahirkan kita ke dunia kehidupan yang serba mencabar ini. Merekalah yang telah bersungguh-sungguh mengasuh, mendidik dan membesarkan kita sehingga kita meningkat dewasa dan berjaya dalam dunia pelajaran dan kerjaya. Jasa bakti mereka seharusnya kita sanjung dan hargai selagi hayat dikandung badan. Ingat, sesungguhnya, syurga anak-anak di hujung telapak kaki seorang ibu atau bapa tua yang mulia!