PBS 2016 #2 - ISU PENGABAIAN ORANG TUA
Monday, 11 January 2016 // 17:59
Pendahuluan
Pepatah Melayu yang berbunyi “bagai kacang lupakan kulit”mungkin sesuai untuk di bincangkan bagi isu golongan warga emas yang kian terabai, kurang bernasib baik dan kebajikan golongan ini juga diabaikan oleh semua pihak. Dalam hal ini, kita sering tertanya-tanya tentang sebab-sebab golongan warga emas ini diabaikan dan sentiasa dilupakan oleh semua lapisan masyarakat. Menjaga warga tua atau ibu bapa yang sudah lanjut usia bukan masalah individu sahaja bahkan ia melibatkan semua pihak terutamanya institusi keluarga, masyarakat dan kerajaan. Pengorbanan ibu bapa tidak ternilai harganya jadi apa salah anak-anak menjaga dan menatang bagai minyak yang penuh seperti mereka menjaga anak-anak semasa kecil dulu. Lagipun dalam tuntutan agama pun ia cukup jelas menuntut kita sebagai anak harus menjaga ibu bapa lebih-lebih lagi yang berumur. Menjaga ibu bapa yang sakit ketika diambang maut dan juga menguruskan jenazah merupakan tanggungjawab yang dituntut oleh agama. Namun, hari ini ramai anak-anak yang menghantar ibu bapa mereka ke rumah kebajikan atau membiarkan sahaja mereka sendirian. Hal ini demikian kerana disebabkan oleh banyak faktor yang mempengaruhinya, justeru itu juga masalah ini harus dibendung supaya tidak menjadi lebih teruk lagi di masa akan datang.
Faktor-faktor
Golongan warga emas yang terabai dan diletakkan di bawah penjagaan rumah kebajikan merupakan satu perbuatan yang tidak bermoral oleh anak-anak. Dalam hal ini, kita sering tertanya-tanya tentang sebab-sebab mengapa mereka diabaikan. Oleh itu, tentu terdapatnya faktor tertentu yang menyumbang ke arah berlakunya masalah ini. Salah satu faktornya yang paling ketara ialah sikap manusia itu sendiri. Segelintir manusia memandang hina terhadap golongan ini, mereka menganggap warga emas tidak berguna lagi malah membebankan. Oleh itu, anak-anak lebih gemar menghantar ibu bapa mereka kerumah kebajikan. Di samping itu, masyarakat itu sendiri juga memandang serong terhadap warga emas yang kurang bernasib baik sekali gus menyisihkan mereka. Perbuatan ini dianggap tidak bermoral terutamanya anak-anak yang derhaka. Ibu bapa telah membesarkan anak-anak dengan bersusah payah namun apakah yang diperoleh oleh mereka semasa tua dan tidak bertenaga lagi? Tentunya mereka akan berasa sakit hati apabila dilayan sedemikian. Selain itu, kita haruslah faham bahawa mereka yang kurang bernasib baik sudah cukup malang dan janganlah menambahkan lagi keperitan itu. Dalam situasi ini bukankah masyarakat sepatutnya memberikan kasih sayang kepada mereka? Namun, yang berlaku dalam realiti kehidupan ini ialah masyarakat tidak ada pun rasa belas kasihan atau menunjukkan simpati bahkan menyisihkan mereka dan menjadikan mereka sebagai bahan gurauan dan cacian.
Bukan itu sahaja, anak-anak juga sering memandang ringan terhadap orang tua mereka. Mereka menganggap ibu bapa telah tua tidak berguna dan berjasa lagi. Mereka tidak terfikir tentang jasa-jasa yang telah diberikan oleh ibu bapa mereka sehingga anak-anak dapat menikmati kesenangan seperti yang dinikmati hari ini. Ingatlah, mereka amat berpengalaman dan segala pandangan, nasihat serta tunjuk ajar mereka patut dihargai dan dijadikan pedoman hidup. Selain itu, yang menyebabkan orang tua diabaikan sehingga ada anak-anak yang sanggup menghantar ibu bapa ke rumah orang tua atau membiarkan mereka tinggal sendirian ialah disebabkan kecacatan, nyayuk, tidak bersefahaman diantara anak atau menantu dengan ibu bapa, kesibukkan anak dengan tugas harian dan masalah kewangan. Tidak sewajarnya meletakkan orang tua dirumah kebajikan kerana ia bermakna menderhakai dan mengabaikan tanggungjawab kita sebagai seorang anak lebih-lebih lagi anak itu lelaki. Anak-anak harus bijak untuk memohon maaf kepada ibu bapa walaupun atas hal-hal yang tidak seberapa. Hal ini mereka menganggap memohon maaf pada ibu bapa adalah satu kesalahan dan tidak wajar.
Dari aspek lain pula, punca pengabaian warga tua juga disebabkan oleh tindakan ibu bapa itu sendiri. Pengabaian terhadap ibu bapa disebabkan pengalaman anak-anak itu sendiri di alam kanak-kanak, mungkin semasa kecil kedua ibu bapa mereka bersikap bengis, suka mendera Maka, anak-anak akan bertindak balas dan menyimpan perasaan untuk membalas dendam terhadap kedua ibu bapa mereka yang dianggap kejam itu. Oleh itu, salah satu cara untuk memuaskan hati mereka ialah dengan mengabaikan kebajikan dan kesihatan kedua ibu bapanya.
Langkah-langkah mengatasi
Masalah pengabaian warga tua disebabkan oleh banyak faktor, namun masalah ini masih boleh dibendung dan diatasi. Tamadun manusia walau apapun agamanya, ia akan meletakkan kedudukan yang paling tinggi kepada yang lebih tua terutamanya kedua ibu bapa. Tamadun itu semakin hari semakin di telan arus pembangunan. Akibatnya anak-anak yang sudah berkeluarga bukan sahaja tidak lagi berminat tinggal bersama ibu bapa malah jumlah ini semakin meningkat di kalangan anak-anak yang bekerja. Langkah untuk mengatasi masalah ini ialah sikap manusia haruslah baik dimana manusia perlu mengikis sifat memandang remeh kepada orang tua yang kurang bernasib baik dan juga anak-anak perlu membuang sifat memandang hina kepada ibu bapa yang dianggap semakin tua semakin tidak berguna dan tidak perlukan lagi. Masyarakat haruslah mengubah sikap dengan mengamalkan sistem keluarga luasan iaitu isi rumah yang merangkumi ibu bapa, anak-anak dan datuk nenek atau anggota keluarga yang lain, secara tidak langsung dapat memupuk rasa tanggungjawab, perasaan kasih sayang, sokongan dan ikatan kekeluargaan yang kuat oleh ahli keluarga terhadap warga tua.
Langkah kedua, anak-anak haruslah diberi didikan agama dan pendedahan dari awal lagi tentang menghormati ibu bapa. Anak-anak yang diberi didikan agama dari kecil lagi akan dapat mengelakkan daripada ibu bapa disisih. Anak-anak yang mempunyai asas agama akan ada rasa tanggungjawab dalam menjalankan tugas menjaga ibu bapa yang berumur. Selain didikan agama yang diterapkan kepada anak-anak sejak kecil lagi pendidikan moral juga perlu diterapkan disekolah rendah dan sekolah menengah. Pendidikan agama yang dihubungkan dengan memperbanyakkan konsep inter-generasi dimana agensi atau pusat penjagaan haruslah menyediakan penjagaan kepada penjaga perlulah diwar-warkan agar mereka lebih sedar tentang sumber yang boleh didapati terutamanya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar. Selain itu, kerajaan perlu menyediakan satu system pendaftaran penjaga supaya segala bentuk bantuan dan program boleh disalurkan dengan mudah. Maknanya, kita akan tahu siapa yang menjaga siapa dalam masyarakat. Seterusnya kita juga harus mengadakaan kempen kesedaran tentang masalah yang berkaitkan warga tua seperti mengadakan hari ibu dan hari bapa. Hari ibu dan hari bapa harus disambut bagi menyanjung dan mengingati jasa dan pengorbanan mereka. Melalui hari ibu dan bapa ini ia sikit sebanyak akan menyedarkan golongan anak-anak yang tidak mempedulikan ibu bapa mereka.
Kesimpulan
Masalah pengabaian warga tua masih lagi di tahap rendah, namun perbuatan anak-anak tempatan seumpama itu tidak dapat diterima masyarakat di negara ini bahkan sangat memalukan dan dikesali. Oleh itu, setiap anak-anak hendaklah sentiasa menghormati dan menjaga kebajikan kedua ibu bapa dan warga tua dengan memberikan kasih sayang dan memastikan kesempurnaan hidup mereka terjamin dan janganlah sesekali mengabaikan dan mensia-siakan hidup mereka serta selalulah mendoakan mereka agar sentiasa mendapat perlindungan daripada Allah S.W.T.
PBS 2016; ISU PENGABAIAN WARGA TUA
// 17:36
Dalam meniti usia emas, warga tua sepatutnya boleh menyandarkan harapan kepada anak-anak. Pertalian yang sekian lama terjalin wajarlah ada tautan hingga ke penghujung zaman. Usaha ini adalah untuk mengelakkan warga emas berasa rendah diri, tersisih dan hidup dalam penderitaan dan kesedihan. Kes meninggalkan ibu bapa yang sudah lanjut usia di rumah kebajikan sering menjadi perbualan umum dan mendapat perhatian masyarakat moden pada hari ini. Kadar kemasukan warga emas ke rumah kebajikan seperti cendawan tumbuh selepas hujan dari tahun ke tahun. Anak-anak merupakan orang yang akan dituding jari oleh masyarakat disebabkan oleh pengabaian mereka terhadap ibu bapa yang sudah lanjut usia. Oleh itu, terdapat beberapa punca yang membawa kepada pengabaian warga emas ini. Bak kata peribahasa Melayu, bagai menatang minyak yang penuh sudah dicurahkan oleh ibu bapa kepada anak-anak sejak dilahirkan, namun anak-anak ibarat kacang melupakan kulit kian mengabaikan kebajikan ibu bapa apabila mereka sudah meningkat dewasa, berkerjaya dan berumah tangga.
Pengabaian warga emas berpunca daripada sikap golongan muda dewasa ini yang terlalu taksub akan dunia kebendaan dan mementingkan diri. Kesibukan mengejar duniawi menyebabkan mereka sanggup menetap di luar negara untuk tempoh yang tertentu bagi memastikan pencapaian cemerlang mereka dalam dunia kerjaya. Bagi mereka, tugas mengejar kekayaan, kemewahan dan kesenangan hidup adalah segala-galanya. Sama ada kebajikan para ibu bapa mereka terbela atau tidak, bukanlah persoalan yang harus difikirkan serta diambil tindakan yang sewajarnya. Apabila ibu bapa semakin tua, maka terdapatlah jurang komunikasi dengan anak-anak. Keadaan ini bertambah buruk dengan adanya hasutan, hambatan dan tekanan yang diberikan oleh pasangan hidup yang tidak sanggup tinggal bersama dengan ibu bapa kerana tidak tahan akan leteran dan kerenah ibu bapa yang telah uzur selain menginginkan kehidupan yang lebih selesa dan bebas. Mereka juga tidak sanggup menjaga ibu bapa tua yang dianggap nyanyuk dan tidak berguna lagi. Anak-anak seterusnya akan bertindak menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang-orang tua.
Sikap anak-anak yang tidak tahu mengenang budi turut mendorong kepada pengabaian kebajikan dan kasih sayang warga emas. Anak-anak yang diberi didikan agama dari kecil lagi tidak akan mengabaikan dan menyisihkan ibu bapa mereka. Anak-anak yang mempunyai asas agama yang kukuh menyedari dan menginsafi tanggungjawab mereka dalam menjaga kebajikan ibu bapa yang berumur di samping senantiasa berhubung dan berkasih sayang dalam kehidupan sehari-hari. Sejak kecil, anak-anak tidak diberi pendedahan tentang nilai mengenang budi, sehingga menyebabkan mereka membesar sebagai seorang dewasa yang tidak bertanggungjawab bagaikan kacang lupakan kulit. Sememangnya, ibu bapa seharusnya menerapkan nilai-nilai kasih sayang dan bertanggungjawab selain menyemaikan sikap mengenang budi dalam kehidupan berkeluarga. Tanggungjawab untuk menjaga golongan warga emas harus dipupuk dalam jiwa setiap anak sejak kecil lagi. Balasan ini sebenarnya adalah terlalu kecil jika dibandingkan dengan segala kasih sayang dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh kedua-dua ibu bapa dalam mendidik dan membesarkan kita sehingga dewasa dan berjaya.
Selain didikan agama yang diterapkan kepada anak-anak sejak kecil lagi pendidikan moral juga perlu diterapkan di sekolah rendah dan sekolah menengah. Pendidikan agama yang dihubungkan dengan memperbanyak konsep inter-generasi, yakni agensi atau pusat penjagaan haruslah menyediakan penjagaan kepada penjaga perlulah diwar-warkan agar mereka lebih menyedari sumber yang boleh didapati, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar. Selain itu, kerajaan perlu menyediakan satu sistem pendaftaran penjaga supaya segala bentuk bantuan kebajikan dan program boleh disalurkan dengan mudah dan berkesan. Maknanya, kita akan tahu siapa yang menjaga siapa dalam institusi masyarakat di samping memupuk budaya masyarakat penyayang dalam kalangan masyarakat majmuk Malaysia. Seterusnya kita juga harus mengadakan kempen kesedaran tentang masalah yang berkaitan dengan warga tua seperti mengadakan Hari Ibu dan Hari Bapa. Hari-hari tersebut wajar disambut bagi menyanjung dan mengingati jasa dan pengorbanan mereka. Melalui hari ibu dan bapa ini, sedikit banyak akan menyedarkan golongan anak-anak yang tidak mempedulikan ibu bapa mereka agar insaf dan pulang ke pangkuan keluarga yang tersayang.
Tidak dapat dinafikan bahawa masalah peribadi juga merupakan antara punca pengabaian warga emas dalam kalangan masyarakat moden pada hari ini. Masalah kewangan merupakan isu utama yang sering dibangkitkan agar ibu bapa tinggal di rumah kebajikan kerajaan yang dikatakan menanggung segala makan, minum, pakaian dan tempat tinggal. Kononnya, ibu bapa sering dikatakan sebagai beban dan faktor penyumbang kepada masalah kewangan anak-anak. Oleh hal yang demikian, mereka yang sudah lanjut usia, berpenyakit tua dan kurang upaya telah dihantar ke rumah kebajikan atau rumah orang-orang tua. Padahal ketika anak-anak masih kecil mahupun remaja, ibu bapalah yang sanggup menatang bagai minyak yang penuh, bergolok gadai atau bermandi peluh untuk memenuhi keinginan dan tuntutan anak-anak, khususnya dari segi pelajaran, makanan, tempat tinggal yang selesa, pakaian dan bukannya menghantar anak-anak ke rumah anak-anak yatim. Namun, sayang seribu kali sayang, anak-anak yang sudah dewasa dan berkerjaya cemerlang langsung tidak mengenang budi ibu bapa sebaliknya rumah kebajikan atau rumah orang-orang tua menjadi pilihan mereka untuk melangsaikan tanggungjawab anak kepada ibu bapa tua mereka.
Dalam keghairahan kita mengejar kemajuan material, terdapat segolongan masyarakat, iaitu golongan warga tua atau warga emas yang terabai dan semestinya memerlukan perhatian dan kasih sayang masyarakat, khususnya generasi muda. Layanlah kehendak dan kerenah mereka, asalkan hidup mereka bahagia dan gembira. Kita haruslah banyak bersabar, cekal dan tabah semasa melayani buana ragam golongan warga emas yang kadangkala bersifat terlalu asing buat kita, anak-anak remaja yang sedang meningkat dewasa dan berkerjaya. Sesungguhnya, golongan inilah yang telah melahirkan kita ke dunia kehidupan yang serba mencabar ini. Merekalah yang telah bersungguh-sungguh mengasuh, mendidik dan membesarkan kita sehingga kita meningkat dewasa dan berjaya dalam dunia pelajaran dan kerjaya. Jasa bakti mereka seharusnya kita sanjung dan hargai selagi hayat dikandung badan. Ingat, sesungguhnya, syurga anak-anak di hujung telapak kaki seorang ibu atau bapa tua yang mulia!